Jalan-jalan Milan 1

 Hai semua. Entry ini adalah sambungan kepada entry sebelum ini yang bertajuk "Keunikan Pekan Kecil Aosta 2". Daripada Aosta, kami telah menaiki Flixbus ke Milan. Namun, sebelum saya menceritakan lebih lanjut tentang Milan, saya ingin menceritakan kisah kami hampir ditinggalkan bas.

Bas akan bertolak dari Aosta ke Milan sekitar jam 9 pagi. Kami bertolak dari rumah penginapan lebih kurang jam 8:45 pagi. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kami menapak selama 20 minit untuk sampai ke rumah penginapan dari stesen bas. Oleh itu, sudah tentunya masa yang sama juga diperlukan untuk sampai ke rumah penginapan dari stesen bas. Oleh kerana masa yang sangat singkat, kami sampai berlari untuk tiba sebelum jam 9 pagi. Mujurlah anak saya duduk di atas stroller. 

Kami tiba di stesen bas seminit atau dua minit lewat. Syukurlah bas masih setia menunggu kerana kita semua tahu betapa pengangkutan awam di Eropah sangat menepati masa. Ketika pemandu bas melihat kami, beliau turun dari bas dan membuka tempat simpanan bagasi. Kami sangat bersyukur kerana sempat tiba sebelum bas bertolak.

Seperti biasa, bas akan berhenti di Stesen Lampugnano. Memandangkan kami melalui stesen ini sebelumnya, kami sudah tahu bagaimana menaiki metro dari sini. Di stesen ini, terdapat beberapa penjual berkulit hitam menjual pelbagai barangan sama ada di atas tikar yang ditebarkan pada permukaan lantai atau di atas meja kecil. Mereka tidak menganggu pengunjung yang berada di stesen. Mereka juga tidak meminta-minta atau memaksa kita membeli barangan mereka. Saya benar-benar salute dengan mereka.

Lebih kurang jam 2 petang, kami sampai di rumah apartmen. Penginapan ini juga disewa melalui platform airbnb. Setelah kami menekan butang interkom, host kami turun ke bawah dan menyambut kami dengan hangat. Suaminya juga turun menyambut kami dengan penampilan yang cukup kemas. Walaupun pasangan ini sudah berumur, saya kira dalam lingkungan 50-an, mereka tetap bersemangat dan bermotivasi. Senyuman tidak lekang dari bibir mereka berdua.

Kami dibawa ke apartmen penginapan kami. Bagi saya, apartmen kami sungguh selesa dan turut mempunyai balkoni. Segala kemudahan lengkap daripada mesin basuh, tempat memasak dan juga tempat tidur. Yang lebih mengharukan, kami juga diberikan free gift jem aprikot buatan sendiri dan cookies. Sehingga sekarang,  kami masih menyimpan label jem tersebut sebagai kenang-kenangan.

 

     Label jem buatan sendiri yang kami masih simpan.

Setelah kami settle down, destinasi pertama adalah Stadium San Siro. Metro untuk ke stadium sangat bersih dan masih baru. Namun, stadium ini kelihatan sudah agak tua. Rupanya, stadium ini dibina berhampiran dengan kawasan perumahan. Hajat kami untuk membuat tour di dalam stadium tidak kesampaian. Hal ini kerana stadium ditutup untuk lawatan. Mungkin pemain sedang berlatih di dalam agaknya, haha. Jadi, kami hanya berpeluang melawat muzium yang ada di luar. Tiket masuk ke muzium adalah €16. Perasaan memang agak kecewa ketika itu. Terlepas peluang bergambar di dalam stadium. Bukan rezeki agaknya.

    Pemandangan luar Stadium San Siro.



    Muzium di luar stadium.

Sebelum balik ke apartmen penginapan, kami telah singgah ke shopping district. Keadaan di sini jauh berbeza dengan pemandangan tipikal di Italy seperti bangunan berbentuk colosseum dan lorong-lorong sempit. Hal ini kerana binaan berbentuk colosseum juga ada di Aosta dengan saiz yang lebih kecil. Kami membeli berus gigi dan ubat gigi kerana kami tertinggal di rumah penginapan Aosta. 

Memandangkan hari sudah gelap, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke apartmen. Besok adalah hari terakhir kami untuk meneroka bandar Milan. 

Kepada semua pembaca, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca post yang tak seberapa ini. Jangan lupa tinggalkan pendapat anda di ruangan komen ya. Until then... 

  

Comments