APA ITU TAHUN CAHAYA?


Apabila anda membaca jurnal-jurnal sains angkasa lepas, anda mendapati bahawa penulis jurnal tersebut menggunakan istilah tahun cahaya untuk menggambarkan jarak antara bumi dengan bintang yang lain. Ketika saya masih kanak-kanak, saya sering kebingungan ketika terbaca istilah ini: tahun cahaya. Persoalannya, mengapa para cendekiawan angkasa lepas cenderung menggunakan istilah ini?

Pada pendapat pembaca budiman, apakah yang bergerak paling pantas di ruang angkasa lepas? Jika anda memikirkan jawapannya adalah cahaya, anda betul! Cahaya bergerak pada kelajuan yang amat menakjubkan – 300 000 km per saat. Jadi, cahaya pasti bergerak pada jarak yang teramat jauh pada satu tahun. Dapatkah anda bayangkan betapa jauhnya jarak bintang-bintang dengan bumi jika cahaya bintang tersebut mengambil masa bertahun-tahun untuk sampai ke bumi?

Jika ada antara pembaca masih belum memahami, sila baca dengan teliti situasi ini. Sebuah bintang telah menghasilkan letupan supernova di galaksi yang lain. Letupan supernova menandakan bintang tersebut menghampiri riwayatnya. Kemudian, stesen angkasa lepas mengesan bintang tersebut telah mengalami letupan supernova melalui cahaya bintang itu yang telah sampai ke bumi.

Apabila ahli astonomi mengukur jarak bintang itu dengan menggunakan tahun cahaya, mereka mendapati jumlahnya adalah 30 tahun cahaya. Oleh itu, bumi hanya mengetahui perihal letupan tersebut selepas 30 tahun. Jika ditukar dalam kilometer, 30 tahun cahaya bersamaan dengan 3 405 888 000 000 000 km! Pengiraan ini dengan andaian setahun bersamaan dengan 365 hari. Walau bagaimanapun, situasi di atas hanyalah contoh semata-mata untuk lebih memudahkan pemahaman pembaca.

Jarak antara Orion Nebula dengan bumi adalah 1 500 tahun cahaya.

Dengan alasan ini maka ahli astronomi menggunakan istilah tahun cahaya dan bukannya unit kilometer untuk menyatakan jarak antara bumi dengan bintang-bintang yang jauh. Apa pula berlaku jika kapal angkasa sepantas cahaya dapat dihasilkan? Kita berupaya mengelilingi bumi pada garisan Khatulistiwa sebanyak 7.5 kali hanya dalam masa sesaat. Namun, penciptaan kapal angkasa sepantas cahaya pun masih mengambil masa yang sangat lama untuk sampai ke galaksi yang lain. Mungkinkah wujud elemen dalam angkasa lepas yang lebih pantas daripada cahaya?


Seperti dalam gambar di atas, jarak matahari dengan bumi adalah 150 juta km. Oleh itu, cahaya matahari memerlukan masa selama 8 minit untuk sampai ke bumi.

Tidakkah anda terfikir, bintang apakah yang paling hampir dengan bumi (tanpa mengambil kira matahari)? Bintang yang berjiran dengan matahari adalah Proxima Centauri.


Titik merah seperti di tengah gambar di atas dikenali sebagai Proxima Centauri. Cahaya daripada bintang ini memerlukan 4 tahun untuk sampai ke bumi.

Sumber:

Comments