Sudah banyak blog yang memposting tentang tips ketika berada di negara Kiwi. Walaupun sudah agak lama, saya dan keluarga telah berpeluang berkunjung ke New Zealand pada Disember tahun lepas. Tidak dinafikan, wang yang diperlukan untuk melawat kedua-dua buah pulau memerlukan wang banyak, lebih-lebih lagi jika travel dengan baby. Baiklah, saya akan berkongsi tips yang mungkin berguna ketika travel ke New Zealand, berdasarkan pengalaman saya.
1. Penginapan
Walaupun kos penginapan agak mahal (purata RM300 lebih), motel mahupun hotel di sana lebih luas. Namun, sebelum menempah, pastikan tidak berkongsi bilik mandi serta mempunyai tempat memasak. Saya dan keluarga telah menggunakan khidmat hotel.com dan airbnb untuk tempahan penginapan.
2. Ketibaan di lapangan terbang antarangsa Auckland
Sila isikan declaration form sebelum turun dari kapal terbang. Begitu juga dengan peralatan outdoor seperti kasut sukan, basikal dan sebagainya perlu diisytihar.
3. Lapangan terbang domestik
Jika kita menggunakan penerbangan domestik, proses pelepasan dan ketibaan sangat mudah. Berdasarkan pengalaman saya, pelepasan sahaja yang perlu melepasi imigresen. Malah, mereka tidak pun melihat passport.
4. Pemanduan
Rakyat Malaysia tidak perlu memohon lesen antarabangsa jika memandu di sini. Lesen Malaysia diterima. Sekiranya kita memandu dengan perlahan (kerana belum terbiasa dengan laluan di sana), sila pasang signal ke tepi supaya tidak melambatkan trafik. Terutamanya di kawasan pekan, pemandu tidak akan memotong anda. Sebaliknya mereka akan menelefon polis kerana anda telah melambatkan trafik dengan memandu perlahan.
5. Sewa Kereta
Saya amat menyarankan supaya menyewa kereta jika travel dari satu bandar ke bandar lain kerana jaraknya boleh mencecah 300 km! Saya telah menemui sebuah laman web menyewa kereta di New Zealand yang tidak memerlukan kad kredit: https://www.acerentalcars.co.nz/
6. Terdapat parking khas untuk mengambil gambar
Jalan raya di New Zealand amat mesra pengguna. Sekiranya anda menjumpai tanda jalan scenic view kalau tak silap, sila berhenti kerana kita tak tahu bila lagi berpeluang ke sini. Kalau ikutkan hati, nak berhenti sahaja setiap saat untuk mengambil gambar. Memandu pun enjoy.
7. Sewa baby seat
Jika travel bersama bayi, adalah menjadi suatu kewajipan untuk menyewa baby seat. Jika tidak, anda akan disaman!
8. Bawa makanan dari Malaysia
Untuk menjimatkan kos, bawalah makanan dari Malaysia seperti maggie, beras, perencah-perencah, sardin dan sebagainya. Anda akan jimat banyak. Berdasarkan pengalaman saya, harga makanan lengkap dengan nasi dan lauk lebih kurang NZD15. Malah harga makanan jauh lebih mahal di kawasan terpencil. Kecualilah anda mempunyai wang yang banyak.
9. Gadget
Amat digalakkan membawa memory card yang mempunyai ruang storan besar, selfie stick, power bank dan sebagainya. Anda akan berasa tidak puas untuk bergambar.
10. Berhati-hati dengan kambing biri-biri
Sila berhati-hati ketika memandu, terutamanya pada waktu petang kerana kambing biri-biri pada masa itu akan digiring kembali ke kandang.
11. Musim panas
Musim panas di New Zealand bermaksud siang yang panjang. Di Auckland, kawasan mula gelap pada pukul 9 p.m Namun di Te Anau (pulau selatan), waktu mula gelap pada pukul 10 p.m.
Sekiranya anda seorang kaki shopping, negara ini bukanlah pilihan yang ideal. Selamat mengembara di bumi kiwi.
Comments
Post a Comment