PENEMPATAN MANUSIA DI BULAN PADA MASA AKAN DATANG?

Jika planet bumi ini sudah tidak boleh diduduki kerana dicemari pencemaran atau kehabisan bahan asli, adakah itu petunjuk bahawa manusia perlu menetap di bulan? Adakah bulan sesuai untuk dijadikan tempat tinggal manusia? Menurut NASA, bulan adalah harapan manusia yang paling hampir apabila bumi ini tidak dapat didiami lagi. Tetapi, logikkah dalam fikiran anda untuk hidup di bulan, yang mana sebahagian permukaannya sentiasa berhadapan dengan bumi manakala sebahagian lagi membelakangi bumi?


Bulan yang saintis NASA maksudkan bukanlah satelit semula jadi bumi. Bulan tersebut adalah salah satu satelit semula jadi Musytari yang dikenali sebagai Europa. Persoalannya, mengapa Europa yang jaraknya sangat jauh berbanding bulan bumi?


Walau bagaimanapun, pihak NASA yakin bulan yang dilitupi dengan ais ini merupakan tempat tinggal alternatif terbaik pada masa akan datang. Malah, pihak NASA bercadang menghantar kapal angkasanya untuk mendarat di bulan Europa. Projek ini diketuai oleh sekumpulan ahli sains berpengalaman yang telah dilantik. Pasukan saintis ini telah menggariskan tiga tujuan utama misi masa depan ke Europa.

Tujuan paling utama adalah mengkaji bahan bukan ais yang terdapat di permukaan bulan ini. Kajian tersebut meliputi komposisi garam, bahan-bahan organik dan bahan-bahan cemar yang lain.

Pemetaan geofizikal Europa merupakan fokus kedua pasukan saintis ini. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti kerangka ais dan lautan melalui kaedah seismologi dan magnetometri. Kaedah ini dapat menentukan pola magnetik bulan Europa.

Para saintis berharap agar kapal angkasa yang akan mendarat di permukaan bulan ini dapat membantu mereka melakarkan permukaan geologi di Europa menggunakan skala yang biasa digunakan di bumi. Hal ini merupakan tujuan ketiga.


Europa merupakan bulan keenam paling hampir dengan Musytari. Bulan ini merupakan bulan terkecil di antara empat bulan Galilean yang mengelilingi planet ini.

Bulan ini ditemui oleh Galileo Galilei pada bulan Januari 1610. Bulan ini dinamakan berdasarkan nama seorang wanita bangsawan Phoenicia dalam mitologi Yunani purba. Wanita ini berjaya dipikat Zeus seterusnya menjadi Permasuri Crete.

Europa mengelilingi Musytari lebih kurang tiga hari setengah. Jejari antara Europa dengan Musytari adalah 670 900 km. Bulan ini lebih kecil berbanding bulan bumi. Walau bagaimanapun, dengan ukuran 3 100 km meletakkan bulan ini adalah bulan keenam terbesar dalam sistem suria.

Para saintis berpendapat bahawa bulan ini mempunyai lapisan air yang tebal dengan kedalaman 100km. Permukaan air di planet ini dipercayai membeku. Namun, para saintis meyakini bahawa air di bawah permukaan bekuan ais adalah tidak membeku.

Tidak seperti bulan bumi, Europa mempunyai bilangan kawah yang relatifnya lebih sedikit di permukaannya.   

Sumber:

Comments